PUTRAJAYA – Majlis TVET (Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) Negara akan menubuhkan sekretariat tetap untuk menyelaraskan pertindihan kursus di 1,295 pusat latihan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan prihatin dengan jumlah perbelanjaan yang tinggi melibatkan sejumlah RM6.7 bilion setiap tahun bagi program berkenaan.
Katanya, sebanyak 12 kementerian dan 11 jabatan mengendalikan pusat TVET di seluruh negara yang menawarkan lebih 6,000 kursus
Tegas Ahmad Zahid, selain menawarkan kursus yang sama dan mempunyai kebolehpasaran yang rendah terdapat persaingan untuk mendapatkan pelajar.
Justeru beliau berharap dengan penubuhan sekretariat itu, kursus-kursus penting yang diperlukan pasaran akan diberi perhatian.
“Kita mewujudkan sekretariat tetap bagi melaraskan pertindihan yang berlaku dengan melibatkan pihak swasta yang menjadi pemain industri untuk menjalin perkongsian pintar dengan pusat TVET yang bersesuaian dengan industri berkenaan.
“Kita akan minta pemain industri memberikan latihan kepada pensyarah dan tenaga kerja di TVET supaya bersesuaian dengan kemahiran yang diperlukan dalam bidang itu.
“Kita juga mahu supaya pihak swasta memberikan peralatan dan perkakasan yang bersesuaian untuk mengajaran,” katanya.
Katanya, sebanyak 10 pemain industri termasuk Petronas, DRB Hicom akan menandatangani perjanjian secara terus dengan pusat TVET terpilih dalam tempoh tiga bulan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis TVET Negara hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar .
Ahmad Zahid berkata, sekretariat berkenaan akan dikendalikan oleh seorang pegawai yang akan diberikan kuasa untuk membuat tindakan.
“Bidang yang bertindih umpamanya Kementerian Belia dan Sukan ada 11,000 pelajar dalam pusat kementerian belia. Ada sebuah kementerian lain ambil lepasan sekolah untuk kursus yang sama.
“Ada sebuah lagi agensi mempunyai beberapa pusat TVET yang tawar kursus yang sama berlaku pertindihan akhirnya kebolehpasaran berada di bawah tahap 50 peratus,” kata Ahmad Zahid.
Katanya, beberapa pusat TVET akan dijadikan pusat keusahawanan bukan untuk hanya memberi tawaran dalam bidang pekerjaan tetapi juga menjadi pelatih sebagai usahawan.
Kursus-kursus yang akan diberi perhatian termasuk kepintaran buatan (AI) dan berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).-MalaysiaGazette