Mohd. Hafee Che Mat

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional bukan berada di bawah telunjuk DAP walaupun parti terbabit bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Justeru Pengerusi Tetap Pemuda UMNO, Mohd. Hafee Che Mat berkata, Ahli Parlimen DAP Chong Zhemin tidak perlu menjadi ‘batu api’ dan mencampuri urusan yang melibatkan UMNO dan BN.

Mohd. Hafee berkata, kerjasama BN dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hanya kerana akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Namun perlu ditegaskan ini bukan bermakna UMNO-BN berada di bawah telunjuk DAP.  DAP jangan sesekali lupa akan hal ini.

“Sebagai seorang pemimpin DAP, Chong Zhemin tidak usahlah menjadi batu api dan mencari publisiti murahan di dalam perkembangan mutakhir parti UMNO-BN.

“Sebarang cubaan pemimpin DAP untuk mencampuri urusan dalaman UMNO-BN boleh mengundang kesan rantaian negatif yang tidak diingini,” kata Mohd. Hafee dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kampar itu yang menggesa BN menyiasat dan mengambil tindakan disiplin terhadap semua ahli Parlimen BN yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Mohd. Hafee menegaskan, DAP tidak perlu mengajar UMNO cara untuk mengendalikan parti sebaliknya fokus kepada usaha dalam memastikan kerajaan baharu mampu menamatkan kemelut yang sedang dihadapi rakyat akibat kelembapan ekonomi pasca COVID-19.

Zhemin juga tidak perlu menjadi ‘api dalam sekam’ jika mahu menjaga kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Adalah sesuatu yang menjengkelkan apabila Chong Zhemin mengatakan beliau tiada niat untuk campur tangan urusan dalaman BN dan ingin mengelakkan tragedi Langkah Sheraton.

“Ingin diingatkan bahawa sebarang usaha atau langkah DAP dalam mencampuri urusan parti lain juga boleh menjejaskan jangka hayat Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan negeri,” tegas Mohd. Hafee.

Tambah beliau, Zhemin patut menyokong pandangan Ketua Pemuda Sosialis DAP Kelvin Yii Lee Wuen baru-baru ini yang melihat politik perpaduan secara progresif antara DAP dan UMNO, iaitu fokus dalam usaha menangani masalah rakyat terutamanya isu kos sara hidup.

Zhemin sebelum ini mendesak BN untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua ahli Parlimen parti itu yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Setiausaha Publisiti DAP Perak itu berkata, tindakan tidak seharusnya diambil terhadap ahli Parlimen UMNO sahaja.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat boleh nilaikan kecerdikan yang tiada dalam pemimpin dan ketua UMNO sekarang.
    Sepatutnya ucapkan terima kasih pada Zhemin memperbetulkan tingtong tingtong POWER UMNO dalam politics.
    Kerajaan sekarang YDPA syorkan sahaja PH bersama BN bentuk kerajaan Persekutuan..
    YDPA tak suruhpun UMNO menempel jadi kerajaan.
    So betullah perlu ada tindakan discipline pada MP BN…
    kenapa Zahid Hamidi tak buat?
    adakah disebabkan sekarang ni pasaran kekurangan TELOR?
    Sibbaik Najib kedalam lo Dak tentu dia pun viral cakap BN sekarang ni macam TELOR separuh masak

Comments are closed.