Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping hadir pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke 41 prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak mendakwa dirinya hanya berhubung dengan Jho Low atas urusan rasmi.

Malah dakwa bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, perbualan lewat malam antara dirinya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenar Low Taek Jho itu bukan berkaitan hal peribadi.

Joanna berkata ketika pemeriksaan balas hari ini oleh peguambela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai perbualan lewat malam berkait dengan pemindahan wang RM5 juta melalui cek kepada UMNO.

Dakwa Joanna, Jho Low mahu memastikan wang tersebut mencukupi dalam akaun peribadi milik Najib yang ketika itu perdana menteri dan tiada cek ditendang.

Muhammad Shafee juga mengasak Joanna dengan secara sinis bertanya adakah beliau berjaga sepanjang malam untuk berkomunikasi dengan Jho Low.

Bagaimanapun Joanna menafikannya dan menjelaskan dirinya hanya bertindak membalas mesej berkaitan arahan-arahan oleh Jho Low.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2023.

Satu ketika dalam prosiding, Muhammad Shafee turut bertanya adakah elok atau sesuai untuk Joanna berkomunikasi dengan Jho Low sehingga lewat malam sedangkan wanita itu sudah berkahwin.

Namun ketika itu, soalan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan sebelum Hakim Datuk Collin Lawrence turut mencelah supaya pembelaan tidak bertanya lanjut hal tersebut.

Dalam pada itu, Joanna turut mendedahkan beliau  pernah mengunjungi kediaman mewah Jho Low di ibu negara beberapa kali namun kunjungan itu berkaitan urusan kerja.

Menurutnya, beliau tidak pernah berdua-duaan dengan lelaki itu.

Beberapa kali juga Joanna menegaskan perbualan mahu pun pertemuan hanya berkaitan kerja semata-mata.

Prosiding bersambung di hadapan Collin.

Ketika ini Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan sedang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion. -MalaysiaGazette