PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan imej Malaysia sudah tercemar gara-gara perlakuan kleptokrat.
Jelasnya, kleptokrat merupakan masalah berkaitan dengan sistem yang dilakukan oleh orang-orang politik – sama ada yang telah mahupun yang belum didakwa.
Justeru Perdana Menteri menegaskan, tidak perlu ada kepimpinan parti politik menguar-uarkan berkenaan ‘kebersihan’ melainkan mereka dapat mencatatkan prestasi yang baik.
“Saya tidak menuju sesiapa tapi, seperti mana saya sebut berulang kali, negara ini tercemar.
“Walaupun saudara nak pertahan, satu dunia tahu Malaysia tercemar kerana masalah sistematik. Bukan satu orang, walaupun dalam kempen politik suka sebut satu kleptokrat, tak betul.
“Kleptokrat itu lebih kepada sistem. Ramai terlibat, ada disiasat dan belum, ada didakwa dan belum didakwa. Tapi tak perlulah pimpinan politik uar-uarkan soal ‘kebersihan’ melainkan mereka dapat catat rekod atau prestasi baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Meskipun sukar untuk melakukan perubahan memerangi rasuah di dalam sistem, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau tekad dan tidak mahu bertolak-ansur dalam perkara berkenaan.
“Kalau kita menolak, risiko besar kerana berdepan maha kaya dan maha kuasa dengan gelaran tinggi (seperti) datuk seri, tan sri, tun… Jadi kita bersedia,” ujarnya.
Tegas beliau, semua badan penguatkuasaan perlu mengambil tindakan segera sekiranya mendapati wujud perlanggaran di pelbagai peringkat tanpa mengira kedudukan.
“Kita ambil tindakan terutama dari segi hukum berdasarkan fakta dan hukum…bukan untuk merekayasa,” tambahnya.
Anwar berkata, amalan dan budaya lampau meluluskan projek tanpa menepati peraturan tidak boleh lagi diteruskan.
“Sekarang ini terserah kepada ketua pengarah, ketua bahagian, pimpinan kementerian untuk memastikan hal ini tidak berlaku di semua peringkat,” tegasnya. – MalaysiaGazette