MKT Wanita
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad diiringi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said bergambar kenangan bersama perwakilan-perwakilan selepas Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KETIKA ini, daripada keseluruhan 43 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hanya tujuh orang sahaja adalah wanita.

Empat Ahli MKT Wanita menyandang jawatan itu melalui proses pemilihan manakala tiga orang lagi dilantik.

Mereka yang dipilih ialah Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Datuk Suraya Yaacob manakala Datuk Rosni Sohar, Datuk Norliza Abdul Rahim dan Datuk Nurul Amal Mohd. Fausi merupakan Ahli MKT dilantik.

Jika dihitung, jumlah Ahli MKT wanita hanya kira-kira 16 peratus, jauh lebih rendah daripada matlamat 30 peratus untuk wanita di peringkat pembuat keputusan.

Peratusan yang hampir sama tetap diperolehi sekiranya mengambil kira jumlah sembilan tokoh wanita dalam keseluruhan struktur kepimpinan tertinggi UMNO yang dianggotai 57 orang.

Wanita selaku tunjang kekuatan UMNO sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan gerak kerja berjalan lancar, lebih-lebih lagi ketika mendekati rakyat semasa kempen pilihan raya.

Mereka sanggup bersengkang mata sehingga tengah malam bagi menghidupkan bilik gerakan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) serta menyumbang masa dan tenaga secara ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran material.

Selain itu, jentera Wanita UMNO juga diberi tugas yang berat dan penting bagi melakukan kajian sikap pengundi melalui inisiatif Jalinan Rakyat (JR) di seluruh negara.

Di luar musim pilihan raya, mereka aktif mendampingi rakyat terutamanya dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di peringkat pusat, bahagian dan akar umbi.

Melihat kepada sumbangan besar dan pengorbanan mereka, maka sewajarnya pemimpin wanita diberi ruang yang lebih besar dalam struktur keanggotaan MKT UMNO pada pemilihan kali ini.

Pertambahan jumlah pemimpin wanita dalam MKT UMNO juga memberi golongan itu suara yang lebih besar dalam membuat keputusan khususnya dari segi menentukan dasar dan hala tuju parti.

Bagi mencapai matlamat 30 peratus, pemimpin wanita perlu menduduki sekurang-kurang 13 tempat dalam MKT UMNO, sama ada melalui pemilihan atau lantikan.

Katakan jumlah pemimpin wanita yang dipilih menjadi Ahli MKT untuk penggal baharu bertambah lagi dua atau tiga orang, pucuk pimpinan parti seharusnya menambah kuota lantikan untuk Ahli MKT wanita agar mencapai atau melebihi 30 peratus.

Berhubung pengisian jawatan ahli MKT yang dipilih, ia bergantung kepada undian yang dibuat oleh para perwakilan mesyuarat UMNO bahagian di seluruh negara pada 18 Mac ini.

Keputusan pemilihan sebelum ini mungkin lebih memihak kepada pemimpin lelaki kerana sebahagian besar perwakilan terdiri daripada golongan tersebut.

Bagi memastikan calon-calon ahli MKT wanita mempunyai peluang yang lebih seimbang, setiap UMNO cawangan seharusnya menghantar perwakilan lelaki dan wanita dalam jumlah yang sama.

Dengan cara itu, calon-calon wanita yang bertanding untuk jawatan ahli MKT mempunyai peluang yang saksama dengan dengan calon-calon lelaki sekali gus meningkatkan kebarangkalian bagi mereka dipilih.

Pada masa yang sama, lebih ramai pemimpin wanita perlu memberanikan diri untuk bertanding jawatan Ahli MKT sebagai langkah pertama dalam usaha meningkatkan penyertaan mereka di peringkat pembuat keputusan UMNO. – MalaysiaGazette