Ahmad Zahid Hamidi.

PUTRAJAYA – Sehingga hari ini, UMNO belum menerima sebarang surat rayuan daripada ahli-ahlinya yang digantung dan dipecat keahliannya baru-baru ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara berkata, beliau sedia menerima surat rayuan mereka jika ada yang mengemukakannya.

“Saya belum terima apa-apa surat rayuan. Saya akan terima (surat rayuan) tapi biarkan kepada Lembaga Disiplin untuk tentukan,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai isu pembersihan besar-besaran yang dibuat UMNO pada bulan lalu.

Terdahulu, Ahmad Zahid ditanya mengenai kenyataan UMNO Johor yang  mahu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mengemukakan rayuan terhadap penggantungan mereka selama enam tahun.

Selain mereka, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama digantung keahliannya, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.

Manakala bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar juga dipecat daripada parti.

Turut dipecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang, dipecat keahliannya.

Sementara itu, 25 ahli dilucut keahlian kerana bertanding sebagai calon atau menjadi penyokong calon lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) atau parti bebas ketika PRU-15. – MalaysiaGazette