Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bulan Februari di KKDW, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 09 FEBRUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beliau rasa dilanyak seperti pembangkang hanyalah pendapat beliau, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Presiden UMNO, bekas Perdana Menteri itu berhak untuk memberikan pendapat tetapi dakwaan itu akan diadili oleh masyarakat.

“Itu pendapat dia, selalunya begitulah bila seseorang atau mana tokoh yang telah meninggalkan jawatan berpuluh tahun atau 5 tahun, 9 tahun atau 22 bulan, 17 bulan atau lebih 14 bulan, mereka merasakan bahawa kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua tak baik.

“Jadi Kita serahkan kepada masyarakat terutamanya ahli-ahli (UMNO) untuk menilai sendiri pandangan yang boleh menyanggah atau bersetuju dengan kenyataan itu,” katanya dalam sidang media sempena perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bulan Februari di Dewan Seri Lestari, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas wawancara khas Mingguan Malaysia yang bertajuk Kita ‘dilanyak’ macam pembangkang’ laporan Mingguan Malaysia pada Ahad lalu.

Dalam laporan itu, Ismail Sabri mendedahkan dirinya ditekan kepimpinan UMNO sendiri seolah-olah beliau bukan menteri daripada UMNO.

“Orang nampak saya macam bukan pemimpin dalam UMNO. Hari ini apa yang hendak dibanggakan sangat? Hanya satu Timbalan Perdana Menteri campur lima menteri lain. Ada yang kata inilah satu pencapaian besar kepada kita (UMNO).

“Sedangkan saya, 14 menteri BN termasuk PM. Dan hari ini, tiada siapa yang komen tentang kerajaan. Dulu saya dalam UMNO pun dikritik secara teruk.

“Tetapi hari ini pemimpin parti lain disanjung. Walaupun kita dalam parti sama, kita ‘dilanyak’ seperti kita dalam pembangkang.

“Sekarang kalau kita perhatikan, ada yang ‘lambung’ sehingga perkara tidak munasabah yang dilakukan kerajaan sekarang pun kadang-kadang dipertahankan,” memetik laporan akhbar itu.

Dalam laporan itu, Ismail Sabri turut berkata beliau amat kecewa dengan partinya namun tidak mahu menunjukkan kekecewaannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.