Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Larangan pemindahan ternakan babi hidup antara negeri telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) berkata, larangan itu bertujuan mengekang penularan wabak penyakit African Swine Fever (ASF) melalui surat arahan Ketua Pengarah DVS.

Dalam kenyataan hari ini, MAFS berkata, perkara itu selaras dengan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) berkenaan penyakit ASF bahawa kawalan pergerakan atau pemindahan dapat mengurangkan risiko kemasukan virus berkenaan.

“DVS negeri boleh mempertimbangkan permohonan daripada negeri yang terjangkit dengan wabak ASF untuk memindahkan ternakan babi hidup ke rumah sembelihan di negeri lain.

“Namun haruslah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh DVS Negeri tanpa kompromi,” kata kenyataan yang sama.

Jelas MAFS, negeri sumber perlu memastikan ternakan babi berkenaan disahkan bebas penyakit melalui ujian makmal serta survelan klinikal yang dijalankan oleh DVS.

Selain itu, borang deklarasi status haiwan (babi) juga perlu dilengkapkan oleh veterinawan swasta/ladang atau pemilik haiwan/produk haiwan/permis serta mempunyai kod ladang babi dan melampirkan lakaran ear notching.

Perkara lain yang hendaklah dipastikan ialah bilangan ternakan yang dipindahkan adalah sama seperti bilangan di dalam permit, nombor kenderaan yang membawa ternakan adalah sama seperti di dalam permit pindah serta tidak dikongsi dengan ladang lain.

“Kelulusan permit adalah untuk tujuan penyembelihan sahaja serta hendaklah mematuhi semua syarat-syarat umum pemindahan ternakan antara negeri,” kata MAFS.

Tambah kenyataan itu, berdasarkan unjuran sehingga Jun 2023 oleh DVS, bekalan daging babi dalam negara adalah mencukupi.

Sehubungan itu, langkah-langkah yang diambil oleh DVS selaras dengan prosedur yang ditetapkan bagi mengawal penularan penyakit ASF dan memastikan tahap keselamatan makanan turut terjamin. – MalaysiaGazette