Khairy Jamaluddin Abu Bakar.- Foto MUHD NA’IM, 12 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM mulai Rabu depan.

Perkara itu disahkan Media Prima Audio (MPA) menerusi kenyataan yang memberitahu, Khairy akan mengendalikan segmen Bekpes Hot di stesen radio itu mulai 15 Februari ini.

Menurut Berita Harian, Khairy mengesahkan akan menyertai Hot FM dalam temu bual menerusi telefon di segmen Bekpes Hot.

Kenyataan MPA pada minggu lepas menyebut, tawaran Hot FM kepada Khairy dibuat menerusi surat terbuka di Instagram berhubung jawatan sebagai penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, dari pukul 6 hingga 10 pagi.

Tambah MPA, selaras dengan tagline stesen radio Hot FM iaitu ‘Yang Hangat dan Terbaik’, pihaknya berharap kehadiran Khairy bersama tonggak utama Bekpes Hot dapat memberi suntikan baharu kepada stesen radio itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen Bekpes Hot lebih segar dan relevan kepada pendengar.

“Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.

“Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.

“Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” ujarnya.

Khairy sebelum ini berkhidmat selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Rembau sebelum tewas dalam pilihan raya umum lalu kepada R. Ramanan dari PKR dalam persaingan merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Selain menerajui Kementerian Kesihatan, beliau juga pernah menjadi menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta menteri Belia dan Sukan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.