KUALA LUMPUR – Penganjuran Bola Sepak Orang Pekak Dunia kali ke-4 dengan Malaysia sebagai tuan rumah pada September depan memang sesuatu yang amat membanggakan bukan sahaja kepada negara malah peringkat antarabangsa.
Apa tidaknya, dunia akan mengenali Malaysia selain penganjuran itu sudah sekian lama dinanti-nantikan dengan penganjuran kali terakhir ialah di Itali pada tahun 2016 sebelum tertangguh disebabkan penularan Covid-19.
Kini golongan orang pekak di seluruh dunia amat teruja apabila sukan bagi mereka itu yang setaraf dengan Piala Dunia FIFA akan bermula September di Malaysia.
Bagi Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn, kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia itu secara langsung menguji kemampuan MSDeaf sebagai penganjur utama yang bermula 20 September hingga 8 Oktober depan.
“Kita amat teruja untuk menjadikan kejohanan ini satu realiti. Kejohanan ke-3 sebelum ini pada 2016 di Itali dengan Turkiye muncul juara.
“Disebabkan Covid-19, kejohanan ini tertangguh sekian lama dan tahun ini ia bermula kembali dengan Malaysia sebagai tuan rumah,” katanya menerusi seorang jurubahasa isyarat dari MSDeaf.
Namun Shin Ruenn menyatakan kerisauannya kerana untuk penganjuran sukan yang begitu berprestij itu, ia memerlukan kerjasama dan sokongan sama ada daripada segi bajet mahu pun sokongan moral.
Menurutnya, ini termasuk sokongan dan kerjasama kementerian yang terbabit dalam sukan mahu pun kebajiikan orang pekak, Majlis Sukan Negara (MSN), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat berprestij, orang perseorangan dan banyak lagi.
Beliau berkata, seperti biasa sukan orang pekak sama ada di peringkat negeri, kebangsaan, ASEAN atau antarabangsa selalunya kurang mendapat sambutan, sokongan mahu pun publisiti.
“Bola Sepak Orang Pekak Dunia sama taraf seperti Bola Sepak Piala Dunia FIFA namun masyarakat lebih mengenali FIFA berbanding orang pekak.
“Begitu juga orang lebih mengenali Majlis Olimpik, BAM, MSN, KOAM dan sebagainya berbanding MSDeaf.
“Terus terang saya katakan, kami terasa terhimpit kerana kejohanan pada September depan semakin hampir dan kejohanan tersebut memerlukan bajet kira-kira RM6 juta.
“Pada masa ini, bajet yang diperlukan belum nampak lagi. Oleh itu, kami masih berusaha lagi,” katanya.
Pada kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Dunia di Malaysia pada September depan dan sehingga kini 24 pasukan bola sepak lelaki dan 10 pasukan wanita telah mengesahkan penyertaan mereka.
Malah MSDeaf masih menunggu tiga negara lain untuk mengesahkan penyertaan mereka.
Selain atlet, kehadiran para petugas, pengadil dan sebagainya dari seluruh dunia dijangka turut serta memeriahkan kejohanan berkenaan dengan Kuala Lumpur dan sekitar Selangor menjadi lokasi kejohanan.
Shin Ruenn berkata, pihaknya berada dalam kerisauan kerana peluang penganjuran itu hanya datang sekali sahaja diperolehi dalam sejarah sukan orang pekak Malaysia.
“Bantulah kami untuk jadikan kejohanan ini sebagai realiti. Bajet yang diperlukan itu rasanya tidak lagi besar atau banyak. Jadi bantulah kami. Jangan sampai kejohanan ini terpaksa dibatalkan kerana ketiadaan bajet,” katanya.- MalaysiaGazette