Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar menunjukkan bubu naga yang telah dirampas oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor pada Operasi Khas Bubu Naga di Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor, Tanjong Karang. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2023.

KUALA SELANGOR – Jabatan Perikanan Selangor merampas 1,435 bubu naga di sekitar kawasan jeti Bagan Tengkorak, di sini, jeti Sekinchan dan jeti Sungai Besar di Sabak Bernam dalam operasi selama dua hari bermula, semalam.

Pengarahnya Noraisyah Abu Bakar berkata rampasan bernilai RM81,400 yang dibuat menerusi Operasi Khas Bubu Naga itu adalah yang terbesar sejak ia dilaksanakan lima tahun lalu.

Katanya operasi yang melibatkan 10 anggota penguat kuasa perikanan jabatan itu menyasarkan jeti-jeti nelayan di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang didapati memasang bubu naga pada kedudukan antara satu sehingga empat batu nautika dari kawasan pantai.

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2023.

Menurut Noraisyah, pengunaan bubu naga dilihat semakin berleluasa di sepanjang perairan negeri itu dengan pelbagai taktik digunakan nelayan untuk menyembunyikan bubu mereka termasuk diletakkan dalam timbunan tong ais terpakai, menutup dengan kanvas atau zink serta menyimpandi dalam rumah.

“Sebelum ini, nelayan menandakan bubu naga mereka menggunakan pelampung, tetapi kini mereka menenggelamkannya ke dalam laut dan menggunakan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) untuk menjejak lokasi bubu mereka selain ada yang menggajikan warga asing untuk melakukan kegiatan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya penggunaan bubu haram itu juga semakin meluas berikutan kos peralatan membeli unit bubu naga agak murah dan mudah didapati terutama menerusi platform e-dagang dengan pilihan pelbagai saiz selain mampu mendapatkan hasil lumayan.

Antara bubu naga yang berjaya dirampas oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor pada Operasi Khas Bubu Naga di Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor, Tanjong Karang. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2023.

Sementara itu, dalam operasi itu juga Noraisyah berkata sebanyak enam premis yang menjual bubu naga telah diberi amaran keras oleh Jabatan Perikanan Selangor.

Katanya penggunan bubu naga berpotensi memusnahkan benih, anak ikan serta sumber perikanan yang lain sekali gus menjejaskan keterjaminan makanan negara pada masa akan datang jika tidak dibanteras.

“Bubu naga adalah peralatan yang tidak dilesenkan dan tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan kerana ia mempunyai lebih dua injap,” katanya menambah penggunaanya boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu denda tidak lebih RM20,000 dan digantung lesen, jika sabit kesalahan.- BERNAMA