Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli berbual bersama tetamu kehormat selepas Majlis Kick-Off Dialog Strategik Pemeriksaan Industri Untuk Memacu Pertubuhan Ekonomi Dalam Era (4IR) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini semakin menua dan memerlukan simpanan di hari tua mereka.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini kerana ketika itu, kos hidup akan meningkat lebih tinggi.

Justeru beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab memastikan sesetengah golongan masyarakat memiliki simpanan mencukupi dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kita perlu berhati-hati dengan wang simpanan KWSP bagi sesetengah golongan. Ini kerana kos hidup semakin tinggi dan kita tidak boleh ambil jalan mudah. Masyarakat makin menua dan kos hari tua akan bertambah tinggi.

“Jadi tanggungjawab kita untuk membolehkan rakyat kita ada simpanan. Jadi kita kena tumpu pada hari tua.

“Bagi ahli politik memang mudah cuci tangan untuk desak pengeluaran KWSP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas majlis Kick-Off Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemerkasaan Industri Untuk Memacu Perindustrian Ekonomi dalam Era Revolusi Perindustrian 4.0 di sini hari ini.

Beliau diminta minta kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.

Beliau menegaskan, simpanan KWSP itu adalah perkara yang penting bagi mengelak rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak.

Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu, rakyat perlu menunggu pembentangan Bajet 2023 dahulu untuk mengetahui beberapa kaedah membantu rakyat.

Jelas beliau, ia termasuk membuka peluang kepada golongan B40 menjana pendapatan tambahan bagi mengurangkan kos hidup mereka. – MalaysiaGazette