Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – “Jahat tidak jahat, kita tunggu laporan. Saya tidak fikir hal ini dihebahkan tanpa ada kebenarannya,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengulas penafian Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau tidak pasti sejauh mana pembabitan bekas Perdana Menteri dalam isu tersebut namun siasatan sedang dijalankan ketika ini.

“Sejauh mana dia (Muhyiddin) terlibat dalam perkara ini, saya tidak tahu. Tunggu siasatan yang dilakukan.

“Tujuan kita, hendak hentikan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan ini, jangan anggap ini tempat untuk kayakan anak menantu dia. Ini pengajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam satu hantaran Facebook menyifatkan tuduhan ini sebagai fitnah jahat yang direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.

Dakwa Muhyiddin ini merupakan sebahagian siri tohmahan jahat dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan -Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?.

“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Siasat juga semua menteri2 yang lalu, mantan2 timbalan perdana menteri, mantan2 menteri kewangan, kalau2 ada yang memberi kontrak2 kepada bapa, mertua, kawan2, ahli perniagaan tertentu, rakan polan, anak2 dan menantu. Itu nampak lebih adil.

Comments are closed.