Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hami di menyampaikan Anugerah Canselor kepada pelajar jurusan Teknologi Kejuruteraan, Maryam Farzana Mohamad Sokri (kanan) pada Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, tidak lagi berlaku keciciran di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, hasrat kerajaan ialah untuk melihat pelajar bawah institusi pendidikan kementerian itu dapat meneruskan pembelajaran mereka dari peringkat sijil ke institusi pengajian tinggi.

“Sebagai kementerian dan di bawahnya ada beberapa agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat desa, kita perlu berusaha dan memastikan tidak lagi berlaku keciciran di kalangan lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran.

“Kita mahu dan berhasrat untuk melihat pejajar institusi pendidikan bawah KKDW terutamanya di kalangan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran dari peringkat sijil hinggalah ke peringkat lebih tinggi.

“KKDW satu-satunya kementerian, selain Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mempunyai tiga universiti bawah kelolaannya iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-19 UniKL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengucapkan syabas atas kejayaan UniKL memberikan kejayaan memberikan pendidikan terbaik kepada pelajarnya, demi melahirkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara.

Katanya, ini terbukti apabila kajian kebolehpasaran kegraduan UniKL yang meningkat begitu tinggi, yang mana 91.4 peratus telah berada dalam pasaran guna tenaga di negara dan luar negara.

“Saya yakin graduan tahun 2022 ini mampu untuk menandingi kadar kebolehpasaran yang dicatat oleh graduan 2020 dan 2021.

“Pada 2022, kebolehpasaran graduan UniKL setinggi 96.1 peratus, manakala untuk graduan tahun 2021 berada tahap 97.1 peratus.

“Saya cabar (graduan) yang ada di depan ini mesti melebihi daripada tahap yang direkodkan ini. Saya mahu kebolehpasarannya melebihi 98 peratus,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, terdapat 280 graduan dan alumni UniKL dari kumpulan graduan sepanjang tahun 2016 hingga 2021 bekerja di 24 negara.

Ini jelasnya, membuktikan program yang ditawarkan UniKL diiktiraf oleh dunia dan menyumbang kepada usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi. – MalaysiaGazette