Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau hanya menyampaikan maklumat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang perolehan vaksin Covid-19 yang dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Kata Anwar, maklumat yang diperolehinya itu kemudian dibentangkan kepada Kabinet sebagai makluman sebelum menyerahkan perkara tersebut kepada badan siasatan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita serah pada badan penyiasat, SPRM dan lain-lain bukan urusan saya lagi.

“Yang saya beri itu hanya kenyataan disediakan oleh KKM dan Kabinet mengambil perhatian. Kemudian badan-badan siasatan harus siasat benar tidak dan sebagainya,” katanya kepada media selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, pagi ini.

Anwar mengulas penafian bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan perolehan vaksin Covid-19 dibuat tanpa persetujuan AGC.

Khairy berkata, semua perolehan yang dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet. 

Anwar juga sebelum ini sudah mendedahkan kertas putih terbabit akan dibentangkan di Parlimen pada persidangan akan datang oleh Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa. -MalaysiaGazette