EPISOD pembukaan akaun bank oleh Datuk Seri Najib Razak dengan AmBank pada 2011 jelas menunjukkan ia bertujuan untuk menerima sumbangan daripada Arab Saudi.
Perkara itu disahkan bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi.
Cheah menjelaskan ketika beliau berjumpa Najib di kediaman Najib di Bukit Tunku, bekas perdana menteri itu sendiri memberitahu kepadanya mengenai kemasukan wang sumbangan daripada Arab Saudi sebanyak AS$100 juta untuk aktiviti Islam.
Semasa perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, Najib memberitahu mahkamah bahawa beliau percaya wang sejumlah RM42 juta yang dimasukkan dalam akaunnya adalah derma dari Arab Saudi dan bukannya daripada syarikat SRC.
Perkara itu menjadi ‘konkrit’ apabila bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping yang mengendalikan akaun Najib mengaku beliau percaya Najib mengeluarkan cek-cek berdasarkan pengetahuannya bahawa akaun beliau mempunyai wang yang secukup.
Hal ini kerana beliau percaya menerima sumbangan dari Arab Saudi.
Joanna juga mengaku tidak pernah berurusan dengan Najib berhubung akaun bekas perdana menteri (PM) itu tetapi sentiasa berurusan dengan Jho Low walaupun dia tidak diberikan mandat bagi akaun itu.
Joanna berkata, dia mempunyai persepsi adalah ‘tidak wajar’ untuk bertemu perdana menteri (Najib) secara langsung berhubung akaun banknya.
Adakah penjelasan ini dapat diterima? Bukankah sebagai pegawai bank yang mengendalikan akaun milik seorang PM, Joanna sepatutnya mendedahkan perkara sebenar kepada Najib?
Jika, Joanna berbuat demikian pada ketika itu, Najib tidak akan meringkuk di penjara Kajang sekarang.
Tetapi kenyataan Joanna tiba-tiba tidak konsisten ketika perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah apabila dia mendedahkan bukan orang Arab yang memasukkan wang ke dalam akaun Najib sebaliknya “Cina Malaysia” iaitu beberapa individu berkaitan dengan 1MDB dan Jho Low.
Tindakan Joanna yang pandang remeh dalam urusan bank Najib, mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen adakah wanita itu bersekongkol dengan Jho Low bagi mengenakan Najib?
Joanna juga sebelum ini memberitahu, dia tidak pernah bersemuka dengan Najib, tetapi sanggup menggunakan wang sendiri sebanyak RM50,000 bagi menyelaraskan akaun Najib pada 2014.
Menurut keterangan Joanna di Mahkamah Tinggi, dia terpaksa menggunakan wang sendiri berikutan akaun Najib yang berakhir dengan nombor 906 mempunyai pengeluaran berlebihan kerana terdapat cek berjumlah RM80,000 yang dikeluarkan tanpa baki mencukupi tahun 2014.
Wanita itu berkata, perkara itu dilakukan bagi mengelakkan cek berjumlah RM80,000 terbabit ditendang.
Baru-baru ini dalam perbicaraan kes 1MDB juga, Joanna memberitahu, berlaku perbincangan lewat malam antara dia dengan Jho Low mengenai penutupan tiga akaun bank milik Najib pada 4 Disember 2014, pukul 11.46 malam.
Pendedahan ini sekali gus mencetuskan keraguan terhadap Joanna kerana apakah yang mendesaknya untuk berbincang mengenai akaun Najib pada lewat malam dengan Jho Low yang tidak kena-mengena dengan akaun Najib.
Pada Disember 2019, Najib memfailkan saman terhadap Joanna kerana didakwa cuai dalam pengendalian akaun-akaunnya dengan mendedahkan transaksi akaun kepada Jho Low.
Namun, pada September 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Khadijah Idris membatalkan saman itu atas alasan penyalahgunaan proses mahkamah sambil memutuskan dakwaan Najib bahawa beliau hanya tahu tentang Joanna memanipulasi akaun banknya semasa perbicaraan tidak boleh diterima.
Najib telah membuat permohonan bagi menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta, prosiding bakal didengar pada 20, 21 dan 22 Feb ini. – MalaysiaGazette