Wanita warga asing yang dicekup dalam serbuan di empat buah premis di sekitar Jalan Petaling, di ibu negara di sini, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 36 wanita dipercayai bekerja sebagai pelayan seks ditahan dalam serbuan di empat buah premis di sekitar Jalan Petaling, di sini, malam tadi.

Operasi dilakukan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Pelacuran) Siri 1/2023.

Menerusi hantaran di laman Facebook, DBKL memaklumkan, kesemua tangkapan itu melibatkan warga asing yang mana 26 daripadanya merupakan warga Indonesia, Bangladesh (5), India (2), Sri Lanka (1) dan  China (1).

Katanya, turut diperiksa 11 orang lelaki warga tempatan dan warga asing dipercayai pelanggan yang hadir ke premis semasa serbuan dijalankan.

“Empat buah premis ini dikenakan tindakan penutupan serta merta (sealed) dibawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan empat notis kompaun dibawah UUK 3(1) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 – Menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan tanpa kebenaran/lesen pihak DBKL.

“DBKL turut membuat tindakan memecahkan 54 buah sekatan bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 155 pelbagai barangan dan peralatan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk kondom, gel pellincir, tisu basah, monitor, cctv dan lain-lain,” katanya.

Menurut DBKL, barangan yang disita, dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja untuk didokumentasi dan penyimpanan sementara sebelum tindakan lanjut terhadap pemilik premis.

Tambahnya, operasi yang dilaksanakan itu adalah melalui risikan dan pemerhatian daripada pasukan penguatkuasa di beberapa lokasi premis yang menjadi tumpuan sekitar pusat bandar untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran.

Katanya, DBKL telah mengenal pasti premis-premis yang dijadikan sebagai pusat pelacuran dan pengaturan tindakan penguatkuasaan sedang giat dilaksanakan secara berperingkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast