Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Lima lelaki dicekup selepas dipercayai terlibat dengan kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka yang dilakukan pada penghujung bulan lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah bertindak membuat beberapa siri tangkapan terhadap suspek semalam.

Katanya, bermula pukul 5.15 petang, sepasukan anggota dari bahagian itu telah membuat beberapa tangkapan di sekitar ibu negara dengan menahan warga tempatan berusia 20 hingga 30 tahun di kawasan Wangsa Maju dan Pudu.

“Suspek ada yang bekerja sebagai pembantu kedai dan ada yang menganggur.

“Antara barangan yang berjaya dirampas adalah sebuah kereta Perodua Kelisa, beberapa buah telefon bimbit, pelbagai pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian, beberapa keping sim kad prabayar UMobile dan pelbagai unit pemetik api.

“Turut dirampas dua kotak rokok pelbagai jenama, dua pasang gari berserta kunci gari, sebatang baton sword bersarung hitam panjang 53 sentimeter, sebuah beg warna kuning, wang tunai RM300 dan pelbagai barang lain untuk tujuan siasatan,” katanya menerusi kenyatan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, berdasarkan pemeriksaan kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Majistret Ampang pagi ini untuk permohonan reman selama tujuh hari.

Dalam pada itu beliau berkata, suspek menggunakan modus operandi dengan mensasarkan samun secara berkumpulan terhadap kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

Ujarnya, hasil daripada kegiatan itu mereka akan dibahagi-bahagikan antara mereka untuk kegunaan perbelanjaan harian.

Menerusi tangkapan itu, beliau berkata, polis berjaya menyelesaikan dua kes samun kedai serbaneka di ibu negara yang dilakukan oleh suspek.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan tanpa senjata api dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Terdahulu dalam kejadian pada 29 Januari lepas, suspek menyamun sebuah premis serbaneka 24 jam di Taman Keramat Permai, Hulu Kelang, Ampang.

Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai dua lelaki telah masuk ke dalam premis dan salah seorang mengacukan pisau ke arah mangsa yang berada di kaunter bayaran dan mengarahkan mangsa untuk membuat penambahan nilai Touch n Go dan mengambil duit di dalam peti wang.

Suspek juga mengambil beberapa barang yang berada di rak rokok dan rak berdekatan kaunter dengan nilai kerugian dianggar RM1,500. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast