Sebahagian 41 anggota Angkat Tentera Malaysia (ATM) dalam kumpulan terakhir Op ‘Starlight’ Operasi Pengendalian Hospital Medan Malaysia di Turkie akan berlepas ke Turkiye malam tadi bagi misi bantuan mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 11 FEBRUARI 2023.

SEPANG — Kumpulan pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terakhir dalam Op Starlight II Hospital Medan Malaysia (HMM) bagi menyedikan perkhidmatan perubatan kepada mangsa bencana gempa bumi di Turkiye, berlepas malam ini.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd. Dom berkata, kumpulan ketiga yang mempunyai kekuatan 41 anggota terdiri daripada 16 pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat itu akan diketuai Pegawai Memerintah HMM, Kolonel Dr Yussra Yusoff.

Jelas beliau, pergerakan anggota yang terlibat dalam Op Starlight II dilaksanakan dalam tiga fasa penghantaran iaitu bermula 10 Februari lalu, dengan menggunakan pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pesawat komersial.

“Kita sedia maklum, kumpulan pertama yang melibatkan 36 pegawai dan anggota telah diaturgerak dengan dua buah pesawat A400M serta selamat tiba di Lapangan Terbang Gaziantep, pada jam 1.30 pagi (waktu Malaysia) hari ini.

“Buat masa ini, kumpulan pertama sedang menunggu arahan pergerakan ke kawasan bencana bagi mendirikan hospital medan di Celikhan, Adiyaman.

“Kumpulan kedua pula berlepas pada jam 11 malam tadi membabitkan 34 anggota dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 10.44 pagi (waktu Malaysia).

“Kumpulan terakhir ini, 16 doktor dan lain-lain kakitangan perubatan diterbangkan dengan penerbangan Turkish Airlines pada jam 11.00 malam ini,” katanya.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom bercakap kepada media pada Sesi Penghantaran Kumpulan Terakhir Tim Op Starlight ATM berlepas ke Turkiye ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 11 FEBRUARI 2023.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan penghantaran kumpulan terakhir pasukan Op Starlight II di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Turut hadir mengiringi penghantaran kumpulan itu, Duta Besar Turki di Malaysia, Emir Salim Yüksel; Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar (KLN), Datuk Zahairi Baharim dan Timbalan Ketua Protokol KLN, Muhammad Radzi Jamauddin.

Menurut Noor Muhammad Akmar, kumpulan kedua menunggu ketibaan kumpulan ketiga dan akan bersama-sama menaiki pesawat A400M ke Lapangan Terbang Gaziantep seterusnya melalui laluan darat ke lokasi hospital medan ditempatkan.

“Kumpulan pertama pula dijangka sampai ke Adiyaman dalam tempoh tiga atau empat jam lagi iaitu tempat HMM akan didirikan.

“Proses perjalanan agak bagus walaupun ada beberapa masalah seperti jalan yang retak dan sebagainya selain cuaca yang sejuk mencecah -15 darjah selsius,” katanya.

Kumpulan ketiga ini dijangka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada jam 6.30 pagi waktu tempatan.

Mereka juga membawa logistik perubatan membabitkan 7.3 tan aset hospital medan yang akan diterbangkan menggunakan pesawat MAS Kargo.

HMM akan ditempatkan di Celikhan, Adiyaman iaitu kira-kira 152 kilometer dari Gaziantep, iaitu kawasan paling terjejas dalam bencana gempa bumi pada Isnin lalu.

Perkhidmatan perubatan hospital medan itu meliputi Tahap 1 dan 2 termasuk prosedur pembedahan.

Mengulas lanjut, Noor Mohamad Akmar berkata, misi berkenaan dijangka mengambil masa selama enam minggu, namun tempohnya akan dipanjangkan sekiranya diperlu.

“HMM akan mendapatkan bantuan koordinasi dari kerajaan Turkiye dan akan koordinasikan operasi bersama KLN dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast