Deputi Superintendan M Kumar menunjukkan dadah yang dirampas di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri termasuk seorang penjawat awam antara sembilan individu ditahan dalam sembilan serbuan dadah melibatkan nilai lebih RM1 juta di tiga daerah pada 8 Februari lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar berkata, serbuan dilakukan serentak oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bermula jam 12 tengah hari Rabu sehingga 2 pagi Khamis di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.

“Dalam kesemua serbuan kita lakukan itu kesemua enam lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 34 tahun termasuk seorang penjawat awam berusia 33 tahun ditahan. Kita (polis) juga turut menahan tiga wanita tempatan berusia 24 sehingga 27 tahun.

“Hasil semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.

M.Kumar memberitahu, JSJN juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah.

Rampasan itu melibatkan 21 peket syabu seberat 24.69 kilogram (kg) bernilai RM888,912; 10 peket heroin (3.56kg bernilai RM47,717) dan 337 gram (g) ketamin (bernilai RM50,550).

“Rampasan ini juga termasuk 2,540 biji pil Eramin 5 (787.58g bernilai RM59,058), 1.20 liter air ketum (RM30) dan 70 bungkusan mengandungi mercun bola.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM1,046,277 dan semua bahan terlarang yang dirampas itu boleh digunakan seramai 145,490 penagih.

“Pihak polis turut menyita enam kereta dengan nilai sitaan RM582,000, empat motosikal (RM57,000), pelbagai barang kemas (RM11,856) dan wang tunai RM2,710, manakala jumlah keseluruhan sitaan membabitkan RM653,566,” katanya.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dalam operasi dilakukan itu adalah RM1,699,843.

Katanya, hasil siasatan mendapati modus operandi pengedaran dadah itu menjadikan kawasan rumah berpagar dan berpengawal yang disewa selain menggunakan kereta ahli keluarga untuk menjalankan kegiatan tersebut.

Katanya, suspek yang merupakan pengedar dadah menggunakan rumah dan kereta sebagai tempat menyimpan dadah.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 8 sehingga 14 Februari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah 39 Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Polis Johor katanya, berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah dengan menghubungi talian hotline JSJN 012-2087222.

Sementara itu, polis Johor menahan 2,170 individu atas pelbagai kesalahan dadah bermula 1 Januari sehingga 10 Februari lalu.

Dalam tempoh itu, JSJN Johor merampas 646.63 kg dadah bernilai RM5.65 juta selain menyita harta sindiket bernilai RM2.84 juta.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast