Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menghadiri Bengkel Halatuju Strategik KKDW di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan ahli UMNO yang menawarkan diri bertanding jawatan dalam pemilihan parti itu dan turut membariskan anggota pasukan merupakan satu persaingan yang sihat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, budaya pasukan tidak menjadi masalah kerana hanya perwakilan UMNO yang akan menentukan siapa pemimpin mereka.

Malah kata beliau UMNO juga mempunyai pengalaman apabila berdepan pemilihan parti sejak ditubuhkan pada 1946.

Beliau yang Timbalan Perdana Menteri berkata, cuma parti itu mengadakan pertandingan dua jawatan tertinggi sebanyak empat kali.

“Satu persaingan yang sihat dan kita tahu sejak tahun 1946, UMNO hanya mengadakan empat kali sahaja pertandingan dua jawatan atas.

“Selain itu tidak ada, dan penawaran diri oleh ahli untuk jawatan naib presiden dan ke bawah adalah sihat

“Saya rasakan yang penting adalah bukan pemilihan yang dibuat melalui kumpulan ‘sepapan’ (kem).

“Tetapi yang lebih penting, pada hemat saya pemilihan dibuat di peringkat bahagian dan cawangan-cawangan akan memilih individu daripada kalangan calon terbaik pada 18 Mac nanti,“ katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Pembangunan Desa Dan Wilayah (KKWD), di sini, hari ini.

Pada pemilihan kali ini, seramai 150,000 perwakilan membabitkan 191 bahagian UMNO di seluruh negara akan mengundi memilih pimpinan baharu di peringkat bahagian dan Pusat.

Jumaat lalu, mengumumkan barisan itu sebagai pasukan ‘Berani Bangkit’, Hasmuni mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Hairi Mad Shah, sebagai calon Naib Ketua Pemuda.

Selain Hairi, Hasmuni turut mengumumkan ADUN Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh, akan dilantik sebagai setiausaha pergerakan itu, jika pasukannya menang dalam pemilihan kelak.

Manakala Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Moktar, diumumkan sebagai calon Bendahari dan Ketua Pemuda UMNO Bukit Gantang, Mohd Sollehin Tajie, sebagai calon Ketua Penerangan.

Persidangan Cawangan telah bermula pada 1 Februari lalu dan berakhir pada 26 Februari ini.

Mesyuarat sayap Pemuda peringkat bahagian akan diadakan pada 11 Mac ini dan Mesyuarat UMNO Bahagian akan diadakan pada 18 Mac depan secara serentak seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast