Abdul Fattah Abdullah

MELAKA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) ada formula baharu untuk menjadi pembekal utama ayam negara sekaligus menghapuskan monopoli oleh syarikat kartel yang selama ini menyebabkan harganya sukar dikawal.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, hasil kajian itu yang akan dibentangkan awal Mac ini sudah dibincangkan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Datuk Seri Mohamad Sabu yang secara dasarnya bersetuju dengan cadangan itu, katanya.

Menurutnya, sebagai badan yang mempunyai rangkaian dengan ribuan koperasi di seluruh dunia, ANGKASA sudah mengenal pasti negara yang boleh bekerjasama dengan mereka.

“Formula ini termasuklah untuk kita memperoleh bekalan anak ayam dan bahan mentah makanan haiwan itu berbanding sekarang ini kita hanya bergantung kepada satu sumber sahaja.

“Kita sudah kenal pasti 200 hingga 300 ahli koperasi kita yang terlibat secara aktif dengan para penternak ayam untuk bekerjasama supaya dapat mengelak pergantungan semata-mata dua tiga syarikat kartel ini yang selalu datangkan masalah,” katanya ketika ditemui media di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, usaha itu dilihat dapat menghapuskan ekosistem tidak sihat yang diamalkan selama ini apabila syarikat pembekal sama akan mengawal kos pengeluaran ayam sekali gus membuatkan mereka akan memonopoli dan memanipulasi harga bekalannya di pasaran.

“Kos pengeluaran ditentukan oleh para pembekal kerana mereka ini juga yang membekalkan anak ayam dan makanan, membeli semula ayam yang diternak daripada penternak.

“Di sinilah punca masalahnya sebab kalau mereka rasa nak naikkan harga makanan ayam, mereka akan buat sehingga penternak akan terkesan apabila harga beli pun dikawal oleh mereka,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, melalui formula ekosistem baharu, Angkasa mempunyai lebih 3,000 rangkaian kedai runcit koperasi di seluruh negara yang boleh membekalkan ayam kepada pengguna.

“Apa yang lebih penting, sektor koperasi kita mempunyai lebih tujuh juta ahli koperasi yang juga pengguna dan pembeli boleh mendapatkan bekalan ayam di lebih 3,000 kedai-kedai runcit koperasi kita.

“Formula kajian ini sudah siap dan pada bila-bila masa jika kementerian sudah bersedia, kita akan angkat cadangan ini dalam masa sebulan sebagai dasar baharu Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Selesai dulu sistem potongan gaji bulanan oleh penjawat awam. Takde online sistem! Wajib ada utk disemak pengguna. Kami kena mati2 percaya pada ANGKASA.

Comments are closed.