Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Permohonan pendengaran permohonan habeas corpus yang difailkan oleh isteri seorang warga Pakistan, Syed Fawad Ali Shah, bulan lalu akan didengar Mahkamah Tinggi pada 20 Mac depan.

Peguam mewakili wanita itu, R Kengadharan mengesahkan perkara itu kepada media hari ini selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nik Nur Amalina Mat Zaidan.

Syeda Mehwish Bokhari memfailkan permohonan pada 27 Januari lalu.

Antara yang dinamakan sebagai defendan termasuk bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan kerajaan Pakistan.

Turut dinamakan beliau ialah wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, Thomas Albrecht; seorang timbalan penguasa yang hanya dikenali sebagai Kanden danĀ  Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Wanita itu memohon andai suaminya sudah dihantar pulang seperti yang didakwa beliau memohon supaya Syed Fawad dihantar semula ke negara ini atas alasan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Syeda sebelum ini telah meminta bantuan untuk mengesan suaminya yang didakwa hilang di negara ini sejak 23 Ogos lalu.

Dia dipercayai melarikan diri dari negara asalnya ke Malaysia pada 2009 untuk mendapatkan perlindungan.

Wartawan itu didakwa telah membuat laporan penyiasatan dengan banyak mendedahkan kes rasuah serta kehilangan orang yang didakwa berlaku di Pakistan.

Saifuddin dalam satu sidang media mengesahkan bahawa Syed Fawad telah dihantar pulang ke Islamabad, Pakistan pada Ogos 2022 selepas menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Pakistan pada awal Januari lepas.

Kata Saifuddin, Syed Fawad dikatakan adalah bekas anggota polis yang mempunyai beberapa kes disiplin.. -MalaysiaGazette