Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Pas Perak akan memantau secara serius budaya politik yang dibawa DAP termasuk sebaran media dari Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Melayu di dalam parti itu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, parti itu sangat mengambil berat terhadap sebarang usaha yang menggugat kedaulatan dan hak yang termaktub dalam perlembagaan.

Katanya, ia selari dengan dasar Pas yang berteraskan politik Islam dengan menekankan keadilan, keharmonian dan kestabilan negara demi survival dakwah serta kedaulatan Islam agama dan negara.

“Pas juga menuntut semua pihak terutama parti politik agar menjunjung perlembagaan negara, menghormati undang-undang serta asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan.

“Semua hak-hak yang telah termaktub dalam perlembagaan atau persefahaman yang dibina dalam pembentukan negara hendaklah dipatuhi dan dihormati.

“Sebarang usaha menyentuh perkara berkaitan hanya akan menggugat keselamatan negara dan keharmonian masyarakat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Pas Perak hari ini.

Razman berkata, langkah mempertikaikan hak umat islam dan sensitiviti orang Melayu mestilah dielakkan.

Ujarnya, mengkritik amalan agama Islam, mempertikaikan tulisan jawi, keistimewaan orang Melayu seperti dalam perkhidmatan awam dan peruntukan terhadap agama Islam sebagai agama negara serta kedaulatan institusi Raja Melayu adalah perkara boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan menggugat keselamatan negara.

Justeru, katanya, Pas berharap pihak berkuasa menggunakan setiap ruang undang-undang bagi mencegah budaya negatif yang menggugat keselamatan negara.

“Pas sentiasa bersedia memberi dokongan kepada pihak berkuasa bagi menjamin keamanan negara serta keharmonian kaum di negara ini terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette