kahwin PRU16
Idris Ahmad (kiri) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di bangunan Parlimen, hari ini. (Gambar: Facebook Idris Ahmad)

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merancang untuk mendirikan rumah tangga sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Idris berkata, Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyatakan hasrat tersebut ketika mereka bertemu di bangunan Parlimen selepas perasmian penggal kedua Parlimen Ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bila saya tanya bila hendak kahwin, saya kata jejaka hensem mesti kahwin cepat. Dia janji dengan saya, sebelum PRU16 dia akan kahwin.

“Saya doakan semoga Allah permudahkan urusan YB Syed untuk mendapat jodoh,” katanya.

Naib Presiden Pas itu memberitahu, perbezaan parti, bangsa dan agama bukan halangan untuk beliau bermesra dengan sesiapa pun.

“Apabila orang hormat saya sekali, 10 kali saya hormat orang tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette