MELAKA – Seorang tukang masak terkejut apabila perlu membayar RM9 untuk harga dua biji tomato seberat kira-kira 200 gram yang dibeli dari sebuah kedai runcit kampung di Bukit Pulau, di sini, hari ini.
Rayaan Naufal Osman, 30, berkata, dia singgah ke kedai itu yang pertama kali dikunjungi kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi selepas isteri memintanya membeli tomato dan cili kering untuk masakan asam pedas.
Menurutnya, ketika itu dia sudah hampir sampai ke rumahnya di Bukit Piatu dan tidak sempat untuk ke pasar raya, tambahan pula hanya perlu membeli dua jenis barang.
“Sebaik sampai di kedai runcit kampung itu saya mencari cili kering namun ia sudah habis dan terus mencapai dua biji tomato bersaiz kecil sebelum memberikannya kepada peniaga untuk ditimbang.
“Peniaga itu kemudian beritahu harganya RM9 membuatkan saya bertanya dua kali lagi untuk kepastian namun jawapannya masih sama dan saya terus membayarnya walaupun agak terkejut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam perjalanan pulang ke rumah, dia singgah ke sebuah kedai runcit di Bukit Baru untuk membeli cili kering dan selepas itu meminta peniaga berkenaan menimbang tomato yang dibelinya itu kerana merasakan harga RM9 terlalu mahal.
“Sebaik ditimbang, peniaga berkenaan beritahu dua biji tomato itu dengan berat sekitar 200 gram hanya berharga RM2.50 kerana harga sekilogram tomato adalah RM11 membuatkan saya hanya mampu geleng kepala.
“Saya tak terfikir untuk minta resit di kedai itu kerana ia hanyalah kedai kampung yang tidak sepatutnya berharga semahal itu,” katanya yang kemudian menularkan kejadian itu di Facebook untuk mendapatkan reaksi dan kepastian harga berkenaan. – MalaysiaGazette.