Suhaimi Sulaiman

KUANTAN – Bermula hari ini, waktu siaran bagi lima stesen radio daerah kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM) diselaraskan bermula pukul 6 pagi.

Pengumuman itu dibuat Ketua Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman bersempena sambutan Hari Radio Sedunia 2023 yang diadakan di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (KOMPSAS) di sini hari ini.

Beliau berkata, stesen radio yang terlibat ialah TawauFm, SandakanFm, KeningauFm, LabuanFm dan LangkawiFm yang bermula siaran seawal 7 pagi sebelum ini.

“Ini bermakna siaran tempatan semua stesen ini diselaraskan bermula pukul 6 pagi hingga 7 malam. Masa siaran KeningauFm pula turut dilanjutkan selama dua jam iaitu dari 5 petang hingga 7 malam. Sebelum ini siarannya bermula 7 pagi dan tamat pukul 5 petang,” katanya.

Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang merasmikan sambutan itu dengan simbolik melepaskan 12 ekor merpati putih.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal (baju putih) merasmikan sambutan Hari Radio Sedunia 2023 dengan simbolik melepaskan 12 ekor merpati putih

Pertama kali berkunjung ke RTM Pahang selepas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Januari lalu, Suhaimi berkata, pemilihan Pahang sebagai tuan rumah sambutan Hari Radio Sedunia 2023  kerana keunikan tarikan yang terdapat di negeri itu.

Dalam pada itu, katanya, RTM turut melaksanakan program tanggungjawab sosial (CSR) menanam 1,000 pokok di Pantai Kempadang, aktiviti bergotong-royong memasak makanan untuk diagihkan kepada anak-anak yatim dan gelandangan sempena sambutan hari ini.

Seramai 300 peserta dalam kalangan penyampai radio bersama pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi awam  turut terlibat menjayakan aktiviti terbabit. – MalaysiaGazette