Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Polis menahan 28 individu yang sedang leka berhibur dalam satu parti liar di sebuah banglo di Genting Highlands, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang ditahan merupakan 19 orang lelaki dan sembilan wanita berusia antara 26 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuat serbuan ke atas sebuah banglo berkenaan pada 13 Februari 2023 hari Isnin, jam lebih kurang 4 petang.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan ujian awal saringan air kencing keatas kesemua suspek yang berkumpul di ruang tamu di banglo tersebut dapati positif dadah jenis Ketamine dan Amphetamine,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ramli, kesemua suspek ditahan reman selama satu hingga dua hari bermula 14 Februari 2023 sehingga 15 Februari 2023.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, sekiranya didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada maklumat orang awam dan PDRM mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa peka terhadap perlakuan jenayah mahupun dadah di sekeliling mereka walaupun dilakukan di tempat yang tersembunyi,” katanya. – MalaysiaGazette