(Dari kiri) AJK Aid4Turkiye, Khairul Anuar Ahmad Kamil , Timbalan Pengarah 1 Wan Mohd Ikhwan Wan Ariff , Pengarah, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Dr Suhazeli Abdullah Ketua Sekretariat dan Bendahari , Mohd Adram Musa.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara bersetuju menubuhkan Aid4Turkiye&Syria bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria baru-baru ini.

Pengarah Sekretariatnya, Mohd. Yusni Matpiah berkata, Aid4Turkiye&Syria telah menyasarkan sumbangan sebanyak RM 1 juta bagi fasa pertama untuk membeli keperluan kritikal ketika ini seperti baju sejuk, makanan dan ubat-ubatan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendirikan khemah sebagai penempatan sementara mangsa di sana.

“Dimaklumkan khemah yang sedia ada tidak mencukupi hingga ada yang terpaksa tidur dalam kereta dan khemah-khemah sementara.

“Justeru, misi pertama sekretariat Aid4Turkiye&Syria pada 16 Februari ini nanti terdiri seramai 12 sukarelawan akan digerakkan ke tempat kejadian bagi menghulurkan bantuan.

“Manakala pada 21 Februari depan seramai empat orang pegawai perubatan akan diterbang untuk turun ke lapangan membantu mangsa di penempatan sementara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd. Yusni menambah, selain Pusat Koordinasi Bantuan Antarabangsa di bawah PASRelief yang bertempat di Bascule Plaza Istanbul juga telah digerakkan sejak hari pertama kejadian.

Jelas beliau, bantuan segera sebanyak RM100,000 telah pun sampai ke lokasi untuk membantu kesusahan mangsa.

“Mewakili Aid4Turkiye, saya menjemput semua pihak yang ingin turut sama menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad 2122 0100 40554 (Pertubuhan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana Sejagat Malaysia),” katanya. – MalaysiaGazette