MELAKA – Seorang juruterbang dan pelajarnya terselamat selepas sebuah pesawat ringan membuat pendaratan cemas di kawasan lapang sebuah kilang kaca di Lipat Kajang di sini pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melalui Pusat Kawalan Daerah (DCC) Jasin daripada pekerja kilang terbabit pukul 11.20 pagi tadi.
“Pesawat jenis Piper PA-28-18 9MSKJ yang membuat latihan penerbangan itu dikatakan telah mendarat cemas di kawasan lapang Kilang Xinyi, Lipat Kajang Jasin ketika ia sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysian Flying Academy (MFA).
“Anggota DCC Jasin kemudian terima makluman dari MLK 704, juruterbang bersama jurulatih penerbangan tidak mengalami apa-apa kecederaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Fadzli, pengurus pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut memaklumkan siasatan akan dijalankan oleh Badan Siasatan Kemalangan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menjadikan siasatan pihak polis dan bomba tidak diperlukan.
Kejadian itu turut disahkan CAAM menerusi satu kenyataan akhbar memaklumkan uruterbang dan seorang pelajar yang mengendalikan pesawat itu dilaporkan dalam keadaan selamat.
“CAAM mengesahkan sebuah pesawat latihan telah membuat pendaratan paksa di Jasin, Melaka berikutan masalah teknikal yang dilaporkan oleh juruterbang.
“Pesawat jenis Piper PA-28-181, 9MSKJ telah memohon kebenaran daripada Menara Kawalan Trafik Udara untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM),” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah MOT mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: