Pasukan SMART, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam menggunakan 'Delsar Life Detector' semasa melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye. Foto FAREEZ FADZIL, 13 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri tidak menolak kemungkinanĀ  akan mempertimbangkan untuk bertolak ke Turkiye malam ini.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta menunjukkan sokongan terhadap apa yang berlaku kepada negara itu baru-baru ini.

“Saya diminta oleh Presiden Turkiye untuk segera ke sana untuk memberikan sokongan moral dan saya sedang menimbangkan samada terpaksa bertolak malam ini ke Turkiye bagi menunjukkan sokongan kita.

“Beberapa negara telah sampai dan Presiden Erdogan telah meminta saya untuk ke sana secara peribadi di sana,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi soalan bersama Perdana MenteriĀ  pagi ini.

Tambah Anwar, beliau menerima panggilan dua kali daripada Erdogan untuk meminta beliau ke Turkiye.

Pada Sabtu lalu, Anwar berkata beliau telah berhubung dengan Recep Tayyip Erdogan sebaik tiba dari Bangkok, Thailand selepas lawatan rasmi selama dua hari di negara jiran itu.

Katanya, beliau sempart menyampaikan ucapan dan doa atas tragedi bencana gempa yang menimpa negara berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan setakat ini hanya membelanjakan RM4 juta bagi kos menghantar pasukan mencari dan menyelamat SMART.

Jelasnya, segala kos penerbangan untuk membawa pasukan penyelamat Malaysia ditaja oleh kerajaan Turkiye.

“Setakat ini di sekitar RM4 juta sahaja dibelanjakan untuk SMRT dan hantar dua pasukan dan pada malam ini satu lagi pasukan akan dihantar termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia dengan kemudahan hospital yang telah dipasang dan telah beroperasi.

“Kita telah mengumpulkan RM20 juta termasuk USD1 juta daripada kerajaan dan USD1 juta daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette