Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO yang dipecat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau berjaya ‘menghadiahkan’ parti barunya, Perikatan Nasional (PN), sebuah negeri.

Shahidan yang bertanding di bawah tiket PN berkata, beliau berterima kasih kepada gabungan itu yang menerimanya sebagai calon Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tahun lalu.

“Saya menang baru-baru ini. Saya dipecat dengan teruknya daripada parti asal saya (UMNO), tetapi syukur alhamdulillah PN menerima saya.

“Saya ‘hadiah balik’ kepada mereka satu negeri,” katanya sewaktu sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) tumbang di Perlis apabila PN menyapu bersih semua tiga Parlimen, selain 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bekas Menteri Besar Perlis itu sebelum ini dipecat daripada UMNO susulan keputusannya bertanding atas tiket PN untuk mempertahankan Parlimen Arau pada PRU15, selepas beliau tidak dicalonkan Barisan Nasional (BN).

Shahidan diumumkan menang dengan majoriti 23,216 undi.

Beliau memperoleh 31,458 undi mengatasi dua calon lain iaitu bekas anak buahnya yang bertanding atas tiket BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang memperoleh 8,242 undi serta calon muda Pakatan Harapan (PH), Fatin Amelina Fazlie yang meperoleh 7,089 undi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.