Dr. Mohammed Taufiq Johari. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketika Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengakhiri sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau diusik beberapa Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN).

Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz (PN-Tanah Merah) bersuara dengan mengajukan soalan: Soalan tambahan, apa hubungan Ahli Parlimen Sungai Petani dengan Speaker?, soal beliau.

Ia diikuti dengan ketawa dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen PN.

Ketika itu, sesi perbahasan dijaga oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor.

“Terima kasih Sungai Petani, seterusnya saya menjemput Datuk Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) untuk meneruskan perbahasan,” arah Ramli.

Selepas itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memasuki Dewan Rakyat bagi menggantikan Ramli bagi mempengerusikan dewan untuk sesi petang.

Situasi itu turut menyaksikan Ahli-ahli Parlimen ketawa apabila salah seorang daripada mereka berkata timing (masa) masuk Speaker kena pasa masanya.

Untuk rekod, Mohammed Taufiq adalah anak keenam kepada Johari yang merupakan bekas Ahli Parlimen kawasan itu selama tiga penggal.

Johari mempertahankan kerusi Sungai Petani sejak 2008 dan pada PRU14, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun mendapat 45,532 undi, menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 21,569.

Johari dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 19 Disember tahun lalu setelah meraih 147 undi daripada 221 Ahli Parlimen menewaskan bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu yang mendapat 74 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Mohammed Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah itu memperolehi sebanyak 50,580 undi.

Beliau menewaskan pesaing terdekat, Dr. Robert Ling Kui Ee dari Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 49,465 undi.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shahanim Mohammad Yusuf mendapat 27,391 undi dikuti calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahaya yang meraih 2,342 undi, manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Tan Joon Long memperolehi 226 undi. – MalaysiaGazette