KUALA LUMPUR – Kebolehpasaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meningkat kepada 90.4 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET merupakan satu platform baharu memberikan latihan jangka pendek dan panjang di peringkat pensijilan, diploma serta ijazah.
“Kebolehpasaran TVET di bawah KKDW meningkat kepada purata 90.4 peratus, mereka yang mendapat kursus TVET ini pasaran guna tenaga mereka berada di tahap itu.
“Ertinya kebolehpasaran itu adalah berdasarkan kepada permintaan daripada pasaran guna tenaga dan kursus yang ditawarkan,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
Ahmad Zahid (BN – Bagan Datuk) berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu mengenai perancangan KKDW dalam menaik taraf fasiliti golongan belia serta menyediakan peluang pekerjaan di luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri itu pada 14 Januari lalu berkata, pihaknya telah mengarahkan agensi berkaitan untuk melaksanakan program pendidikan serta TVET berimpak tinggi secara besar-besaran.
Beliau yang juga Presiden UMNO itu berkata, ia bertujuan meningkatkan lagi keberhasilan pendidikan kemahiran sebagai pemacu perubahan untuk melonjakkan modal insan berkemahiran tinggi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette