SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneruskan pelaksanaan Program Selangor Saring bagi tahun ini untuk melaksanakan pencegahan penyakit melalui saringan dan pengesanan awal.
Dengan peruntukan RM2.6 juta, kira-kira 31,000 orang melibatkan semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menerima manfaat itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, Program Selangor Saring yang dilaksanakan sejak tahun lalu telah menerima lebih 20,000 pendaftaran.
Katanya, program itu yang dilaksanakan tahun lalu telah menerima lebih 20,000 pendaftaran dan berjaya mengenal pasti 49 peratus kes yang memerlukan tindakan susulan, konsultasi serta rawatan lanjut.
“Bagi tahun ini, kerajaan negeri telah memperluaskan skop perkhidmatan kepada tiga kategori iaitu saringan telinga, pemeriksaan gigi dan perkhidmatan fisioterapi, selain saringan asas yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Siti Mariah menjelaskan, sebanyak lima kategori saringan dan perkhidmatan Selangor Saring tahun ini disediakan.
Antaranya, penyakit tidak berjangkit yang melibatkan penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang; penyakit kanser iaitu kanser kolorektal, prostat, serviks dan payudara.
Kategori lain ialah penyakit berkaitan mata iaitu rabun, glaukoma dan retina; saringan tambahan seperti pemeriksaan gigi dan telinga; serta perkhidmatan fisioterapi.
Dr. Siti Mariah menyeru penduduk Selangor yang mempunyai faktor demikian dan belum dikenal pasti oleh doktor mempunyai penyakit itu supaya mendaftar mengikuti program berkenaan.
Kata beliau, pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah bermula pukul 2 petang ini dengan setiap pemohon perlu melengkapkan borang saringan awal ketika proses pendaftaran.
“Ini bertujuan untuk mengenal pasti latar belakang serta faktor risiko pemohon, manakala individu yang layak akan menerima baucer untuk menjalani saringan kesihatan tanpa sebarang bayaran di lokasi dan tarikh ditetapkan,” katanya.
Maklumat lanjut bekenaan Program Selangor Saring boleh didapati melalui laman sesawang selangorsaring.selangkah.my dan sebarang isu berkaitan pendaftaran boleh diajukan ke talian hotline Selcare iaitu 1-800-22-6600. – MalaysiaGazette