Pengumuman pelantikan Khairy sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak JDT dan Penasihat Belia Johor. foto Facebook Tunku Mahkota Johor.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu Khairy atau dikenali KJ juga dilantik sebagai Penasihat Belia Johor oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di akaun rasmi Facebooknya.

“Saya telah bertemu dengan Khairy Jamaluddin dan bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

“Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia serta kemajuan bola sepak Johor,” katanya.

Sementara itu, laman Instagram rasmi JDT @officialjohor turut berkongsi berita pelantikan Khairy.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin atas perlantikan beliau sebagai salah seorang Ali Lembaga Pengarah JDT selepas diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

“JDT turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas perlantikan beliau sebagai Penasihat Belia Johor. Luaskan Kuasamu Johor,” kata laman rasmi JDT itu.

Beliau turut membalas hantaran pengumuman pelantikan itu menerusi InstaStory dengan kapsyen “Menjunjung kasih @hrhcrownprinceofjohor” seakan-akan bersetuju dengan tawaran itu.

Pengumuman itu sekaligus menamatkan teka-teki hala tuju Khairy selepas beliau yang  Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dipecat keahliannya dari parti itu pada 27 Januari lalu.

Bermula hari ini juga, Khairy telah memulakan tugasnya sebagai penyampai radio Hot FM. – MalaysiaGazette