Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam di Sandakan hari ini kerana memberi wang rasuah kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik balik satu laporan polis terhadapnya.

Menurut sumber, suspek lelaki beruusia 40-an bertugas di Beluran telah disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kes samun berkumpulan.

Suspek kemudian menawar serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik pada pada 30 Oktober 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi pemberita, mengesahkan penahanan suspek ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 beserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin, dan dijadualkan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat. – Bernama