PEKAN – Exco Kanan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff mengesahkan beliau akan bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan pada Pemilihan UMNO 2023.
Fakharuddin merupakan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang akan bertanding bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak Ogos tahun lalu.
“Selaku wakil rakyat DUN Bebar selama tiga penggal dan EXCO Kerajaan Pahang selama dua penggal dengan keputusan pilihan raya Bebar yang amat baik sejak tiga penggal lalu, saya yakin sudah tiba masanya untuk saya menabur bakti dan keringat kepada penduduk dan ahli-ahli UMNO Pekan.
“Saya yakin melalui kerjasama dan hubungan baik saya selama ini dengan kepimpinan UMNO Negeri diterajui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Selain itu hubungan yang baik dengan Datuk Seri Najib Tun Razak selama ini dan kedudukan saya selaku EXCO Kerajaan Pahang maka lebih banyak lagi usaha-usaha, kemajuan dan pembangunan dapat saya bawa ke Daerah Pekan demi kesejahteraaan rakyat berbilang kaum serta membawa semangat yang baru, perubahan dan kejayaan lebih gemilang untuk UMNO Pekan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, dengan prestasi yang baik, pengalaman luas, kejayaan yang telah terbukti selama ini dan hubungan baik beliau dengan semua pihak, beliau yakin mampu mengemudi dan mengukuhkan kembali kedudukan dan kegemilangan UMNO Pekan di mata pengundi dan semua masyarakat berbilang kaum di Pekan.
Fakharuddin merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar sejak 2013 dan memegang jawatan Kerajaan Pahang selama dua penggal sejak 2018, yang mana pada penggal lalu beliau merupakan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia. – MalaysiaGazette