BUKIT MERTAJAM – Pekerja pengurup wang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memalsukan 10 dokumen bagi tujuan menipu pembaharuan pasport.
Kazi Monir, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Kazi Monir didakwa memalsukan 10 jenis dokumen dengan tujuan menipu proses pembaharuan pasport dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.
Antara dokumen tersebut resit Jabatan Imigresen, invois perkhidmatan MyEG serta laporan polis Seberang Jaya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Lorong Usahaniaga 1, Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah kira-kira jam 7.30 malam pada 8 Februari lalu.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam V. Pushpa
Dalam prosiding Nor Shakila memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kes.
Bagaimanapun, Pushpa meminta anak guamannya diberikan jaminan susulan tertuduh baru menimang cahaya mata sulung semalam, selain perlu menanggung isteri serta ibu bapanya yang telah uzur di negara asal.

Selain itu, peguam turut mendakwa tertuduh sudah menetap di negara ini selama 16 tahun dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tempatan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta lapor diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran kediamannya.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac depan. – MalaysiaGazette