Orang ramai yang datang untuk menerima perubatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa supaya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyelesaikan kemelut perjawatan yang berlanjutan.

Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin berkata, KKM tidak boleh bersendirian dalam isu ini kerana ia melibatkan keputusan kedua-dua pihak berkenaan.

“Memang benar. KKM sahaja tidak boleh menyelesaikan isu perjawatan ini. Yang membuat keputusan adalah JPA & MOF.

“Saya mohon kepada semua, bantu KKM untuk memohon kepada JPA & MOF untuk membantu KKM menyelesaikan kemelut ini. Isu semakin kritikal, penyelesaian segera adalah perlu,” tulisnya menerusi Twitter hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, ketiadaan dana dan keterbatasan perjawatan faktor isu penyerapan semua kakitangan kontrak.

Jelasnya, tanggungjawab ini tidak hanya terletak kepada KKM sahaja malah perlu kerjasama daripada MOF dan JPA.

Walaubagaimanapun Zaliha memberi jaminan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pertemuan dengan pekerja kesihatan yang dijadualkan pada 28 Febuari ini dan menemui pengarah hospital di seluruh negara.-MalaysiaGazette