Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Hazwani Haslan mempertaruhkan strategi 4S dalam kempen pemilihan UMNO Pusat.

KUALA LUMPUR – Calon jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Nurul Hazwani Hassan akan menggunakan kempen 4S (simetri, struktur, sinergi dan stabil) sepanjang kempen bagi merebut jawatan tersebut dalam pemilihan parti kali ini.

Nurul Hazwani yang merupakan Setiausaha Puteri UMNO Malaysia akan menggunakan strategi itu untuk mengembalikan semula keyakinan umum, khususnya golongan muda terhadap UMNO selain memastikan ua kekalahan besar parti gergasi itu tidak berulang lagi.

“Kita tahu keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 lalu jelas menunjukkan orang muda tidak mahu bersama UMNO. Hakikatnya politik sentiasa berubah dan dinamik, kita perlukan perancangan teliti untuk menawarkan solusi kepada pergerakan puteri dan UMNO.

“Kita kena tahu kenapa, kita kena lihat dan jalankan siasatan mengapa mereka tidak mahu bersama kita, kerana itu jugalah saya tampil dengan kempen ini bersama pasukan saya,” katanya.

Tambah Nurul Hazwani, penting untuk Ahli Puteri UMNO mengamalkan 4S yang akan diperkenalkannya kerana ia adalah solusi kepada segala permasalahan sayap itu.

Calon Puteri itu turut membuat pengumuman bekerjasama dengan Exco Puteri Malaysia, Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani yang bertanding untuk jawatan Naib Ketua Puteri UMNO.

Jalinan kerjasama ini kata Nurul Hazwani, adalah serasi dan kuat untuk menjayakan perancangan mereka dalam pemilihan parti kali ini.

Dalam pada itu, Nur Hazwani menegaskan beliau akan sentiasa lantang berdasarkan fakta dan atas kepentingan sayap itu pada setiap masa dengan fokus diberikan terhadap suara golongan muda.

“Namun tidak bermakna kita hendak hentam kepemimpinan atasan tetapi anak muda harus berani bersuara berhubung apa yang perlu dan terbaik untuk parti, pada masa sama masih menghormati kepemimpinan parti,” tegasnya.

Untuk makluman Nurul Hazwani pernah menawarkan diri bertanding jawatan tersebut selepas penyandangnya, Datuk Zahida Zarik Khan tamat tempoh selepas berkhidmat sejak 2018 dalam sayap itu.

Setakat ini hanya empat borang percalonan Ketua Puteri dihantar iaitu oleh Nurul Hazwani, Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri, Fadhwa Anuar dan Exco Puteri, Dr. Masliha Harun

Sesi pencalonan pemilihan UMNO bermula 13 Februari lalu dan akan berakhir pada 26 Februari ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast