PDRM saman
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat bayaran berjumlah RM17.76 juta kepada sebuah syarikat sebelum perkhidmatan mencetak dan mengepos saman dilaksanakan.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, denda notis lewat dipos sebanyak RM1.82 juta juga tidak dikenakan terhadap syarikat terbabit.

“Selain itu, syarikat perkhidmatan 227963-P telah melantik subkontraktor tanpa kelulusan dengan nilai kontrak berjumlah RM32.58 juta,” katanya dalam sidang media di Jabatan Audit Negara, di sini, hari ini.

Beliau membentangkan penemuan pihaknya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM.

Nik Azman memberitahu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan agar PDRM memastikan pembayaran dibuat mengikut ketetapan perjanjian.

Beliau menambah, bayaran juga mesti berdasarkan jumlah sebenar bilangan notis saman yang dicetak dan dipos oleh syarikat tersebut.

“PDRM hendaklah memastikan pemantauan terhadap tempoh penyempurnaan perkhidmatan mencetak dan pengeposan notis saman dibuat dengan lebih berkesan dengan mengambil tindakan segera tehadap sebarang kelewatan yang berlaku,” katanya.

Nik Azman berkata, PDRM sepatutnya menguatkuasakan klausa perjanjian sedia ada dan menambah baik terma perjanjian untuk menjamin kepentingan kerajaan. – MalaysiaGazette