David Malpass. foto Facebook

NEW YORK – Presiden Bank Dunia, David Malpass akan melepaskan jawatannya pada bulan Jun ini, meninggalkan organisasi itu lebih awal setahun sebelum penggalnya berakhir

“Sepanjang empat tahun lalu, ia amat bermakna dalam karier saya. Setelah melakukan pelbagai kemajuan dan selepas berfikir, saya memutuskan untuk melakukan cabaran baru,” menurut kenyataan Bank Dunia.

Namun Malpass dipercayai membuat keputusan itu selepas dikritik kerana menafikan berlaku perubahan iklim.

Tahun lalu, White House menegurnya selepas beliau berkata tidak tahu sama ada bahan api fosil mendorong perubahan iklim.

Malpass kemudian meminta maaf atas kenyataan itu.

Beliau memulakan penggal lima tahunnya pada April 2019, selepas berkhidmat di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat semasa pentadbiran Donald Trump.

Dalam satu kenyataan, Malpass berkata beliau berbangga dengan apa yang telah dicapainya di bank itu, yang menyelia berbilion dolar dalam pemberian pinjaman kepada negara membangun setiap tahun.

Pembiayaan “termasuk pembiayaan iklim” telah mencapai tahap rekod di bawah kepimpinannya.

“Menjelang akhir tahun fiskal, kami akan berada pada kedudukan yang baik untuk menampilkan kemampanan dengan lebih jelas dalam misi Kumpulan Bank Dunia, menyelaraskan misi dengan sumber, dan menggerakkan evolusi yang berkesan untuk meningkatkan impak institusi terhadap orang ramai dalam dunia membangun,” tulisnya dalam satu kenyataan yang dikongsi di LinkedIn.

Malpass, yang ragu-ragu terhadap institusi pelbagai hala, telah lama dilihat sebagai pilihan yang kontroversi untuk menerajui Bank Dunia.

Pada satu acara pada bulan September, bekas Naib Presiden AS Al Gore berkata, bank itu tidak melakukan cukup untuk mengumpul dana bagi isu iklim dan adalah “tidak masuk akal untuk mempunyai penafi iklim sebagai Ketua Bank Dunia”.

Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen, yang telah mendesak untuk melakukan pembaharuan di Bank Dunia dan bank pembangunan lain, mengucapkan terima kasih kepada Malpass atas perkhidmatannya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada kontroversi itu.

Ketika mengulas, Malpass mempertahankan dirinya, tetapi enggan mengatakan bahawa bahan api fosil menyebabkan perubahan iklim.

AS selaku pemegang kepentingan terbesar dalam Bank Dunia dan sumber utama pembiayaannya akan mengemukakan calon baharu untuk menerajui bank itu tidak lama lagi. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast