Anggota bomba membawa keluar mayat mangsa bagi diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Unit Forensik bagi proses bedah siasat.

KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas jatuh ke dalam Sungai Risda, Kemayan, Bera pada kedalaman 1 meter, hari ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ketika kejadian mangsa dikenali sebagai Nordin Kasim, 60, dipercayai sedang menahan jaring ikan bersama sahabatnya.

“Semasa sedang berbual mangsa tiba-tiba jatuh tersemban di dalam air.

“Kawan mangsa cuba membantu mangsa tetapi tiada tindakbalas dari mangsa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Ramli, rakan mangsa kemudian mengikat warga emas itu dengan menggunakan dua helai baju ke pokok sawit kerana bimbang dihanyutkan air.

Jelasnya, selepas itu beliau pergi ke pondok keselamatan Ladang Risda Bera untuk meminta pegawai keselamatan menghubungi bomba.

Mangsa dikatakan sudah berkahwin dan beralamat terakhir di Sikamat, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk ujian calitan Covid-19 sebelum menjalani proses bedah siasat.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai tujuh anggota dan pegawai bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Paras kedalaman air di lokasi lemas adalah 1 meter, mangsa yang terjatuh berkemungkinan mempunyai masalah kesihatan.

“Pasukan bomba mengangkat mangsa dengan menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette