Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) bergambar bersama kanak-kanak kurang upaya (OKU) ketika hadir pada program '27th Annual Charity Walk-Jog-Wheel-Athon' Anjuran Persatuan Kanak-kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak agar mewujudkan sebuah taska bagi kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di setiap Parlimen di negara ini.

Ahli Parlimen Pembangkang, Mumtaz Md Nawi berkata, 11 taska kanak-kanak kurang upaya yang ada ketika ini hanya memenuhi keperluan 4.7 peratus golongan berkenaan.

“Kebanyakan daripada kecacatan dan kelemahan anak-anak ini dapat diatasi jika ada intervensi awal dan terapi yang betul daripada pihak pengasuh dan juga ibu bapa.
“Ini kerana jumlah OKU seluruh Malaysia lebih kurang 15 peratus daripada rakyat, tetapi yang berdaftar sekarang ini rendah, dimaklumkan sebentar tadi hanya dalam 5,000 orang yang berdaftar,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mumtaz yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menggesa kerajaan mengkaji semula tahap pendidikan pengasuh taska OKU yang ketika ini disyaratkan hanya memiliki sijil pendidikan awal kanak-kanak.

“Pengasuh yang dipilih bekerja di taska OKU diberikan kepakaran seperti guru pakar yang ada di sekolah pendidikan khas kerana mereka dilatih.

“Tapi pengasuh cuma ada sijil pendidikan awal kanak-kanak, kita bimbang bila tiada kepakaran khas tak membantu anak-anak ini,” katanya.

Mumtaz juga menggesa kerajaan mewujudkan pelan khas bersepadu supaya tindakan dapat diambil bagi menyelesaikan masalah berkaitan kanak-kanak kurang upaya.

“Modul kanak-kanak ini juga perlu ditambah baik oleh keraja, kita mahu kanak-kanak bawah usia empat tahun ini dilindungi,” katanya. – MalaysiaGazette