Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Seramai 97.71 peratus pekerja p-hailing di negara ini merupakan golongan belia yang terdiri daripada individu yang berumur 15 hingga 30 tahun manakala 2.29 peratus merupakan golongan warga emas yang terdiri daripada individu yang berumur melebihi 60 tahun.

Ia adalah hasil kajian pekerja gig dalam perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan yang bekerja sendiri yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang membabitkan 6,657 responden.

Dari segi tahap pendidikan pula didapati kebanyakan pekerja p-hailing ini mempunyai tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) / Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional
(SPMV) atau setaraf (39.54%), diikuti dengan kelulusan diploma dan setaraf (23.24%) dan Ijazah Sarjana Muda (11.79%).

Dapatan juga menunjukkan terdapat 0.21 peratus pekerja p-hailing yang tidak bersekolah dan 0.99 peratus tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik.

Maklumat pekerjaan dan pendapatan juga mendapati sebanyak 73.98 peratus pekerja p-hailing menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan utama.

Sebanyak 70.35 peratus pula menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan utama manakala 29.65 peratus individu tidak menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan
utama mereka.

Daripada 29.65 peratus tersebut, sebanyak 14.23 peratus merupakan pekerja swasta, 7.12 peratus merupakan pekerja kerajaan, 5.60 peratus terdiri
daripada mereka yang bekerja sendiri, 1.46 peratus adalah pelajar dan 1.25 peratus merupakan pekerja badan berkanun.

Dari segi perlindungan sosial pula didapati sebanyak 72.25 peratus responden telah mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala 27.75 peratus tidak melakukan sebarang caruman.

Seterusnya hanya 22.05 peratus pekerja p-hailing yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) manakala 77.95 peratus tidak melakukan sebarang caruman.

Dari segi waktu bekerja pekerja p-hailing dalam seminggu menunjukkan tiga kategori tertinggi ialah yang bekerja antara tempoh 49 jam sehingga 84 jamseminggu (30.79%) diikuti 30 jam sehingga 48 jam seminggu (25.84%) dan kurang daripada 30 jam (25.42%).

Dari segi jumlah platform pula menunjukkan sebanyak 67.09 peratusan pekerja p-hailing menggunakan satu platform sahaja manakala 21.66 peratus pula menggunakan dua platform serta selebihnya ialah tiga platform dan melebihi empat platform masing-masing sebanyak 6.38 peratus dan 4.87 peratus.

Perbandingan pendapatan sebelum dan selepas menyertai p-hailing juga telah dibuat di dalam kajian ini dan menunjukkan terdapat peningkatan terhadap pendapatan
pekerja p-hailing selepas menyertai aktiviti penghantaran makanan dan barangan.

Bukan itu sahaja, analisis juga mendapati pendapatan tertinggi yang diperoleh pekerja p-hailing ialah antara RM1,501 hingga RM2,499 (26.78%) diikuti dengan RM1,500 dan ke bawah (23.39%) serta RM2,500 hingga RM3,170 (11.67%).

Simpanan dan pelaburan bagi memastikan jaminan hari tua pekerja p-hailing turut diambilkira dalam kajian ini yang mana terdapat 36.61 peratus pekerja p-hailing mempunyai simpanan mahupun pelaburan sendiri manakala 63.39 peratus tidak mempunyai apa-apa simpanan.

Dari segi pemilikan polisi insuran didapati sebanyak 45.07 peratus pekerja p-hailing mempunyai polisi insurans sendiri manakala 54.93 peratus adalah sebaliknya. Kajian ini juga mendapati lima sebab utama pekerja p-hailing menyertai perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan/minuman ialah untuk menampung perbelanjaan harian, membantu keluarga, mempunyai masa bekerja yang fleksibel, membuat simpanan dan tidak terikat dengan peraturan/kontrak pekerjaan.

Hasil kajian ini juga telah mencadangkan lima tumpuan strategik yang meliputi sebanyak 19 inisiatif dan 19 pelan tindakan khusus kepada individu yang akan
menyertai p-hailing dan pekerja p-hailing yang sedia ada, syarikat penyedia perkhidmatan dan kementerian/jabatan/agensi yang berkaitan.

Senarai strategik dan inisiatif adalah seperti memastikan kebajikan pekerja p-hailing dilindungi di bawah perundangan perburuhan atau yang setara, menyediakan saluran aduan dan komunikasi ssuai bagi menyelesaikan pertikaian di antara syarikat penyedia perkhidmatan dan pekerja p-hailing, menambah baik program perlindungan sosial
yang sedia ada bagi pekerja p-hailing supaya lebih fleksibel dan sesuai, menambah baik pelan latihan kemahiran kepada syarikat penyedia perkhidmatan dan pekerja p-hailing dan membangunkan pangkalan data bersepadu bagi pendaftaran pekerja p-hailing. – MalaysiaGazette