Temubual SkopMG bersama Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib tidak akan bertanding jawatan peringkat pusat sebaliknya hanya akan menumpukan di kawasannya sahaja.

Menurutnya, perkara itu sudah dinyatakan sebelum ini cuma tidak tahu jawatan dan kawasan mana beliau akan bertanding.

“Hujung minggu ini saya akan pulang ke kawasan selepas tamat sesi Dewan Rakyat dan saya akan berjumpa dengan ahli-ahli di kawasan serta pak cik-pak cik, mak cik-mak cik untuk bertanya kedudukan saya ini nanti.

“Di mana sewajarnya Ahli Parlimen Tenggara ini bertanding? Soalan itulah yang saya nak tanya mereka. Saya kena ikut keputusan itu kerana merekalah pengundi saya ketika Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 lalu hingga saya menang.

“Jadi, andai kata ada kawasan yang membenarkan saya bertanding, saya terima seadanya dan tidak akan meminta-minta,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika menjadi tetamu program SKOP MG.

Beliau berkata, tidak mudah untuknya membuat keputusan memandangkan penggal menjadi ketua pemuda sudah habis.

“Kalau umur saya masih boleh boleh jadi ketua, saya terus bertanding dan cuba kekalkan jawatan sama tapi sudah habis tempoh,” katanya lagi.

Mannzdri yang kini berusia 43 tahun mengakui kedudukan sebagai ahli Parlimen tidak mudah untuknya meletakkan diri sebagai calon.

“Saya menghormati Ketua Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba dan tidak sesekali saya membelakangi beliau yang terlalu banyak berjasa.

“Beliau juga antara individu yang banyak membantu saya ketika kempen pilihan raya lalu. Seperti saya katakan, persoalan di mana itu (bertanding), saya serahkan kepada ahli UMNO Tenggara nanti,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa tidak bertanding di peringkat pusat, Manndzri berkata, membantu kawasan sendiri adalah agenda utama untuknya.

“Saya wakil rakyat Tenggara, jadi saya rasa, tugas saya lebih diperlukan di Kawasan berbanding pusat. Saya anak jati Tenggara sedia memikul tugas di kampung halaman sendiri,” katanya lagi.

Permilihan UMNO sudah bermula awal Februari lalu itu memperlihatkan ada pertandingan di peringkat cawangan, bahagian dan pusat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast