Antara pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam kejayaan anggota Polis menumpaskan sidiket pengedaran dadah bernilai jutaan ringgit. Foto Hiasan MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah selain ketum bernilai RM8.76 juta menerusi serbuan yang dilaksanakan sepanjang tempoh dua minggu bermula 1 Februari lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata, mengikut statistik setakat 15 Februari lalu menyaksikan sebanyak 7,946 tangkapan telah dibuat atas pelbagai seksyen kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

Menurutnya, seramai 10 individu turut diberkas di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Pada masa sama, sebanyak tiga sindiket dadah tegar telah dilumpuhkan dan seramai 11 orang menganggotai sindiket-sindiket itu telah berjaya ditumpaskan selain sebuah makmal memproses dadah juga berjaya dibongkarkan dalam Ops Tapis Khas.

“JSJN turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah sebanyak 210 kilogram, sebanyak 189 liter pelbagai jenis cecair dadah, 3,079 kilogram daun ketum serta 8,539 liter air ketum dengan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM8.76 juta,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasminya hari ini.

Tambah JSJN dalam kenyataan itu, sepanjang tempoh dua minggu itu,  seramai 1,118 penagih dadah tegar berjaya dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan daripada jumlah tersebut seramai 586 orang telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan tiga sebatan.

Tegasnya, JSJN juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Dalam serbuan narkotik sama, polis juga berjaya memberkas seramai 23 orang penjawat awam atas pelbagai kesalahan dadah.

“Selain itu sebanyak 3,287 kertas siasatan telah dibuka oleh JSJN dan sebanyak 1,980 daripadanya berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 60 peratus.

“Dalam usaha melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai jenis aset bernilai RM779,000 telah berjaya disita manakala sebanyak RM149,000 telah dilucuthak,” katanya.

Sepanjang tempoh terbabit juga terdapat kes menarik yang mana seramai 12 individu termasuk lima ‘doktor’ yang berperanan sebagai pembancuh jus ketamin telah ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor serta merampas 21 kilogram (kg) dadah disyaki jenis ketamin dan dua kg syabu yang bernilai RM1.27 juta pada 7 Februari  lalu. – MalaysiaGazette