Dato' Halidan Md Daud

KUANTAN – Kutipan zakat harta terkumpul bagi seluruh Pahang bagi tahun 2022 sebanyak RM206.9 juta berbanding RM179.2 juta bagi tahun 2021.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM27.7 juta atau 15.4 peratus.

Pengurus Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Datuk Halidan Md Daud berkata, prestasi kutipan zakat tahun 2022  sangat memberangsangkan walaupun baru melepasi era pasca Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP).

Kutipan zakat harta pada tahun 2022 sekali gus telah melepasi sasaran ditetapkan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) iaitu RM194.0 juta dan 100,500 pembayar.

“Dari segi bilangan, jumlah pembayar yang membayar zakat harta pada tahun 2022 adalah sebanyak 99,843 orang berbanding dengan tahun 2021 seramai 95,642 orang. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4,203 orang atau 4.4 peratus.

“Penyumbang terbesar bayaran zakat harta adalah daripada zakat pendapatan dan hasil potongan gaji. Sebanyak RM71.9 juta telah diterima melalui potongan gaji dengan bilangan pembayar seramai 62,628 orang,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Menurut Halidan, amaun kedua terbesar adalah diterima daripada zakat perniagaan yang meliputi badan-badan korporat serta lain-lain perniagaan.

Jumlah yang diterima daripada kategori ini adalah sebanyak RM74.6 juta dengan bilangan pembayar seramai 4,593 orang, katanya.

Selain itu, peningkatan zakat adalah sumbangan daripada peningkatan potongan gaji hasil wakalah sekolah (pemulangan semula zakat) dan sumbangan zakat perniagaan daripada syarikat berasaskan perladangan kelapa sawit.

Bagi lain-lain zakat seperti zakat pertanian, ternakan, emas, perak, wang simpanan dan lain-lain tidak mengalami perubahan yang besar.

Manakala bagi prestasi agihan zakat pula, sepanjang tahun 2022, MUIP telah mengagihkan zakat kepada golongan asnaf yang layak menerima sebanyak RM207.0 juta dengan jumlah penerima seramai 124,900 orang penerima. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast