Philippe Troussier.

KUALA LUMPUR – Skuad kebangsaan Vietnam bakal menerima sentuhan Eropah apabila jurulatih dari Perancis, Philippe Troussier bakal menjadi ketua jurulatih pasukan B-23 dan kebangsaan negara itu.

Memetik laporan VnExpress  Troussier dan Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF) telah mencapai persetujuan bersama bulan lalu.

Namun VFF enggan mengumumkan secara rasmi kerana menghormati Park Hang Seo  yang tidak melanjutkan kontraknya selepas tamat saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Kontrak Troussier bersama skuad Vietnam bermula pada 1 Mac ini dan akan berakhir pada 31 Julai 2026, menurut kenyataan rasmi daripada Naib Presiden VFF, Tran Anh Tu.

Bagaimanapun, jumlah gajinya tidak didedahkan namun sumber dari VnExpress melaporkan ia lebih mahal daripada khidmat Park Hang Seo iaitu lebih RM200,000.

Tugasan pertama Toussier ialah mempertahankan pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA yang bermula pada bulan Mei tahun ini dan memenangi Piala AFF tahun depan.

Troussier satu-satunya calon yang berada dalam radar VFF kerana mempunyai pengalaman melatih skuad Vietnam bawah 19 tahun (B-19) pada tahun 2019 hingga 2021 selain menjadi Pengarah Teknikal bola sepak Vietnam.

Dia yang berusia 67 tahun juga cukup memahami budaya bola sepak negara tersebut.

Pada tahun 2014, Troussier pernah dicalonkan untuk menjadi ketua jurulatih Malaysia bagi menggantikan tempat Datuk Rajagobal.

Dia dikatakan menuntut gaji bulanan lebih RM416,000 iaitu angka yang dianggap cukup besar dan tidak mampu dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Troussier turut mempunyai pengalaman dalam bola sepak Afrika dan memajukan pasukan kebangsaan Nigeria, Afrika Selatan dan Burkina Faso sehingga digelar White Witch Doctor.

Malah, dia juga pernah membimbing skuad kebangsaan Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 buat kali pertama dalam sejarah setelah dua tahun sebelumnya melatih mereka untuk menjuarai Piala Asia 2000. – MalaysiaGazette